Suasana di pasar malam di Bachang Melaka selepas berlakunya kemalangan yang mengakibatkan seorang lelaki maut.

MELAKA – Seorang lelaki maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu peniaga pasar malam yang turut merempuh empat kenderaan lain di Pasar Malam Kampung Lapan, Bachang di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, mangsa dikenali Tan Kay Sniah berusia 59 tahun maut di tempat kejadian dalam nahas jam 7.30 malam itu.

MPV yang melanggar seorang lelaki dan merempuh tiga lagi kenderaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila MPV jenis Proton Exora dipandu warga emas berusia 71 tahun hilang kawalan ketika keluar dari tapak parkir sebelum melanggar mangsa dan merempuh tiga kenderaan lain di hadapannya.

“Akibatnya, mangsa pejalan kaki maut di tempat kejadian sebelum pemandu sama telah melanggar sebuah lagi kenderaan ketika mengundurkan MPVnya.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tiga lagi kereta turut dirempuh dalam kemalangan tersebut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian berkata kemalangan berlaku sekelip mata yang turut hampir meragut nyawanya.

“Bunyi (pelanggaran) masih terngiang-ngiang di telinga kerana kejadian berlaku betul-betul depan mata.

“Kalau ‘uncle’ itu undur lagi (jauh) dengan saya pun arwah, nyawa seinci sahaja lagi. Sampai sekarang saya masih menggigil teringatkan kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette