Gambar Fail
Gambar Fail

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa kerajaan memberikan peluang kepada 1,040 agensi pengambilan pekerja asing berdaftar menjadi pengantara mempercepatkan kemasukan golongan itu ke negara ini.

Menurut setiausahanya,  Dr. Sukumaran Nair, langkah itu sebagai persediaan untuk melicinkan proses membawa masuk pekerja asing sekaligus menghentikan rasuah dan penglibatan orang tengah.

“PAPSMA yang terdiri daripada empat persatuan di Malaysia menggesa Kementerian menghentikan pengambilan terus daripada individu atau syarikat bagi menjaga keselamatan dan kebajikan setiap pekerja sama ada tempatan atau asing dalam sektor pekerjaan.

“Kami bekerjasama rapat dengan pengambilan pekerja dari negara asal, merupakan perantara antara kerajaan Malaysia, pekerja dan majikan yang berkelayakan memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pekerja dilindungi, selamat dan terjamin di bawah Akta Kerja 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sukumaran mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan minggu lalu yang berkata Jemaah Menteri bersetuju pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain  perladangan.

Tambah Saravanan lagi, pengambilan pekerja asing akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik.

Dalam perkembangan berkaitan, Sukumaran (gambar atas) berkata,  pihaknya akan turut menguatkuasakan aplikasi digital Working For Workers (WFW) yang disediakan kementerian bagi memastikan tiada pekerja yang dihukum atau dilayan dengan buruk oleh mana-mana majikan di negara ini.

Langkah itu bagi memastikan tiada sebarang penganiayaan terhadap mana-mana pekerja yang mana pekerja boleh membuat aduan rasmi melalui aplikasi itu untuk tindakan segera.

“Kami akan memastikan setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan secara sah dan meninggalkan negara secara sah selepas kontrak pekerjaan mereka tamat.

“Proses ini akan memastikan bahawa bilangan pendatang tanpa izin di negara ini akan dikurangkan sekali gus mengelakkan gejala sosial dalam sektor pekerjaan selain menjimatkan wang kerajaan melalui pembayaran levi, Perkeso dan lain-lain,” katanya.

Sukumaran turut berkata, pihaknya menyokong inisiatif kerajaan dalam penubuhan pelbagai Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di bawah Piawaian Keselamatan Penginapan Pekerja Global dan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di Malaysia. – MalaysiaGazette