Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Maybank Kim Eng merancang menyelaraskan nama jenama dan entitinya kepada Maybank sebagai jenama induk, menggugurkan Kim Eng daripada nama dan logo, dan kini dikenali sebagai Maybank Investment Banking Group (Maybank IBG).

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, entiti-entitinya dalam pasaran di peringkat global telah menerima pakai nama dan logo baharu syarikat tetapi ia akan terus dikenali sebagai Maybank Investment Bank di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ami Moris berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 pengambilalihan Kim Eng, francais ekuiti terbesar di rantau ini, diikuti dengan pembentukan Maybank Kim Eng sebagai nama jenama.

“Kami telah berkembang daripada entiti pasaran tunggal di Malaysia untuk menjadi bank pelaburan tempatan yang terkemuka di ASEAN dan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

“Dari hari pertama, kami membawa bersama keseluruhan Maybank termasuk kepakaran Maybank Investment Bank di Malaysia untuk memberi khidmat nasihat, pembiayaan dan keperluan pelaburan pelanggan.

“Menyelaraskan jenama untuk lebih dekat dengan Maybank mencerminkan bagaimana Maybank Kim Eng telah berkembang maju dan bagaimana kami mahu bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh lagi bagi merealisasikan cita-cita alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) kami sebagai satu kumpulan,” katanya. – MalaysiaGazette