PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan dalam talian membabitkan judi, termasuk pertaruhan bola sepak, didalangi warga tempatan ditumpaskan polis berikutan tertangkapnya tiga lelaki warga tempatan.

Mereka yang disyaki mendalangi sindiket penipuan itu memantau keputusan perlawanan bola sepak ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah kediaman di Jalan Kuchai Maju, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kediaman suspek, polis merampas tiga buah komputer riba, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, seunit modem wifi dan sebuah buku nota catitan yang mengandungi pelbagai butiran.

“Polis memulakan siasatan terhadap suspek di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serbuan tersebut dilakukan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman yang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields

Menurut Amohizam, siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak Ogos 2020 dan mangsa yang menjadi sasaran adalah warga tempatan.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati suspek menggunakan laman web “dataservices.betgenius.com‟ dan bo.xm33.m8manage.com‟ untuk memantau keputusan perlawanan bola sepak.

“Modus operansi kesemua suspek sindiket berkenaan adalah menggunakan medium sosial melalui aplikasi Wechat untuk menjerat dan mendapatkan mangsa.

“Ketiga-tiga tangkapan itu ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu tindakan siasatan selanjutnya,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket penipuan boleh menyalurkan maklumat kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 selain mengunjungi balai polis berhampiran di bawah pentadbiran IPD Brickfields atau menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette