Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (dua kiri) bersama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tiga kiri) membuat ‘flag off’ pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di Antara FAMA Corporation Sdn. Bhd. dan Alpha Resources Berhad Group di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dijangka membekal produk agromakanan dengan nilai potensi sebanyak RM3 juta kepada 60 buah kapal C3 yang beroperasi ke Lautan Hindi menjelang 2022.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia dijangka dapat mewujudkan ruang perniagaan baharu khususnya kepada pertubuhan peladang kawasan dan FAMA Corp.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn Bhd, Faidz Afizi Mohamed (tiga kiri) dan Pengarah Eksekutif Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad, Simon Pua (dua kanan) Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di Antara FAMA Corporation Sdn. Bhd. dan Alpha Resources Berhad Group di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 16 DISEMBER 2021.

Perkara itu, katanya, dapat dicapai dengan perjanjian persefahaman melalui FAMA Corporation Sdn. Bhd (FAMA Corp.) dengan sebuah syarikat perusahaan laut dalam tuna, Alpha Ocean Resources Berhad Group (AORB).

“Ini melibatkan pembekalan barang-barang makanan basah, seperti ikan, ayam, sayur-sayuran serta produk makanan telah diproses yang akan dibekalkan kepada beberapa buah kapal tuna dibawah AORB,” jelasnya.

Tambah Ronald, stok bekalan makanan itu melibatkan 56 Stock Keeping Unit (SKU), di mana perbekalan makanan melalui pusat borong FAMA Corp. Bukit Mertajam akan memberikan manfaat kepada usahawan tempatan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pokok Sena yang membekalkan komoditi Halia.

“Ia juga akan memanfaatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang membekalkan Ayam, Peserta Ladang Kontrak, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda yang membekalkan Sayuran & Buahan berdaun, usahawan industri makanan yang membekalkan sos, kicap, keropok ikan, kopi dan PPK Sungai Chena’am yang membekalkan ikan sejuk beku,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perjanjian persefahaman yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn. Bhd, Faidz Afizi Mohamed dan Pengarah Eksekutif Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad, Simon Pua di Bangunan Lembaga Pertubuhan Peladang hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi FAMA, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh,  Undang Luak Johol merangkap Pengerusi Alpha Ocean Resources Berhad Group, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah, Pengerusi FAMA Corporation Sdn Bh, Senator Datuk John Ambrose dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.- MalaysiaGazette