Calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Bukit Assek, Hii Tiong Huat tampil dengan cara tersendiri bagi memperkenalkan diri kepada pengundi setempat dengan berkempen di simpang empat Jalan Lanang Barat ketika tinjauan di sekitar Sibu hari ini.

SIBU – Gelagat calon Bebas, Hii Tiong Huat, yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, ketika berkempen sehingga kadangkala dilihat melutut bagi merayu sokongan pengundi di kawasan itu mengundang simpati orang ramai.

Tanpa mengira keadaan cuaca panas terik atau hujan lebat, warga emas berusia 70 tahun itu tetap kelihatan bersemangat menjalankan kempen pilihan rayanya meskipun berseorangan.

Sambil memegang payung, beliau dilihat melutut di atas jalan raya serta menunjukkan isyarat jari nombor dua ketika berkempen di persimpangan lampu isyarat Jalan Lanang Barat dan Jalan Kampung Nyanor di sini.

Aktivis sosial itu juga dilihat berkempen di pintu gerbang Sibu ketika hujan lebat sambil membawa sepanduk yang memaparkan slogan “Saya ialah lilin, beri peluang kepada saya memperjuangkan hak Sarawak, menghapuskan rasuah.”

Gelagat Hii yang tetap bersemangat meskipun berkempen secara solo mengundang simpati orang ramai dan ada antara mereka bertindak turun dari kenderaan untuk menghulurkan minuman, makanan serta wang tunai kepadanya.

“Saya mahu kerja (undi), kalau sudah menang saya akan tolong rakyat tolong Sarawak,” katanya yang bertanding buat kali kedua selepas PRN Sarawak 2011.

Selain Hii, perebutan kerusi DUN Bukit Assek membabitkan penyandang Irene Mary Chang Oi Ling daripada DAP, Lau Kiu Ming daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Ting Kee Nguan daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Priscilla Lau daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Jin Ek daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bukit Assek mempunyai 27,636 pemilih berdaftar.

SPR telah menetapkan pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 Sabtu ini.- BERNAMA