Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) hari ini mendengar kenyataan saksi ke-13,  Tan Sri Ismee Ismail yang mengakui dirinya tidak keruan dengan skandal penyewelengan dana RM2.3 bilion itu.

Ismee yang juga bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB mendakwa dirinya tidak dapat mengambarkan apakah sebenarnya perasaannya berhubung siasatan skandal berkenaan lebih-lebih lagi apabila terfikir tentang keselamatan diri dan keluarganya.

Walaupun mengaku emosinya tidak menentu namun pada masa sama menegaskan dirinya tidak pernah dijanjikan apa-apa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan sedang dijalankan bagi memberi keterangan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Masa itu saya sukar untuk gambarkan perasaan saya lagi-lagi bila fikir tentang keselamatan keluarga, kita ini manusia biasa tentu akan fikir pelbagai perkara apabila ditahan pihak berkuasa.

“Risau, takut, tidak keruan. Semua ada,” katanya pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Ismee berkata demikian ketika disoal peguambela, Datuk Hariharan Tara Singh.

Najib yang dikaitkan dengan penyewelengan dana 1MDB ketika ini sedang berdepan dengan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana entiti itu.

Ismee mendedahkan ketika perasannya tidak keruan dan risau, SPRM menenangkannya dengan meyakinkan dirinya tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan.

“Bila saya suarakan kebimbangan saya, kata mereka (SPRM) saya tidak perlu takut. Saya tidak perlu rasa paranoid dan seingat saya memang tidak ada apa-apa perjanjian dibuat kepada saya untuk keterangan saya,” dedahnya.

Saksi juga memberitahu mahkamah beliau tidak dikaitkan dengan sebarang kes jenayah berhubung skandal itu namun telah disaman oleh 1MDB.

Kata Ismee, selain dirinya, beberapa pengarah lain turut menerima saman yang sama termasuklah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Ashvin Valiram.

“Saya sedih dengan tindakan saman tersebut. Saya tidak rasa dikhianati, saya rasa sedih,” ujarnya kepada Hariharan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan ada mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn. Bhd. telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion.

Jumlah itu termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Saman itu telah difailkan kepada sembilan entiti dan 25 individu manakala SRC pula menyaman lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku termasuk pelanggaran tanggungjawab fidusiari dan konspirasi.

Namun pada tahun ini sekitar Ogos, 1MDB menarik balik saman terhadap tujuh individu iaitu Che Lodin, Ismee, Ashvin, Tan Sri Ong Gim Huat (bekas Pengerusi 1MDB).

Tindakan yang sama juga dilakukan terhadap dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd. Hazem Abdul Rahman serta bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir.

Prosiding akan bersambung 5 Januari tahun depan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast