Omicron Covid-19 variant Malaysia case Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar at a news conference on the latest development of Covid-19 in Malaysia. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan beberapa langkah yang diambil bagi mengekang penularan varian Omicron di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara langkah tersebut adalah tidak membenarkan sebarang penganjuran sambutan secara besar-besaran bagi perayaan Krismas mahupun Tahun Baharu.

Bagaimanapun, menurut Khairy, acara kecil-kecilan seperti bersama keluarga boleh dilakukan.

“Kalau nak bertemu ahli keluarga, kunjungan saudara dan rakan-rakan dibenarkan tetapi perlu menjalani ujian pengesanan kendiri Covid-19 terlebih dahulu.

“Kita tak mahu dengan sebarang sambutan akan meningkatkan semula angka kes,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau memaklumkan langkah-langkah lain yang diambil antaranya adalah pengembara yang kembali dari United Kindgom harus melakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

“Keputusan itu harus dilaporkan menerusi aplikasi MySejahtera setiap hari.

“Tujuh hari bagi mereka yang lengkap vaksinasi, 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Selain itu, ujarnya, lebih banyak negara akan dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi.

“Hari ini, Nigeria dimasukkan kerana kes Omicron terkini dan setiap pengembara dari negara ini akan dipakaikan gelang khas pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin.

“Pusat pemberian vaksin mega juga akan diwujudkan semula bagi mempercepatkan pelaksanaan program pemberian dos penggalak.

“Langkah ini akan dimulakan di Lembah Kelang,” katanya. -MalaysiaGazette