Seorang lelaki

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditahan polis pada pukul 1.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek berusia 33 bekerja di kedai serbaneka di kawasan Ulu Tiram, dekat sini, ditahan di tempat kerjanya.

Tambah beliau, tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 10.33 malam semalam.

“Polis dimaklumkan ketika kejadian anaknya berada di kedai serbaneka telah didatangi suspek yang merupakan pekerja di kedai itu.

“Lelaki itu dikatakan telah meraba bahagian perut mangsa. Ketika kejadian berlaku difahamkan pukul 7.50 petang, kelmarin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14 (A) Akta kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. -MalaysiaGazette