Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran bercakap kepada media selepas menerima memorandum daripada Sekretariat Solidariti Rakyat yang membantah cadangan pindaan Akta 342 dengan menaikkan jumlah kompaun di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini menolak cadangan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ia dilihat zalim.

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran mendakwa, ini kerana pindaan akta yang mahu menaikkan kadar kompaun kepada individu dan pihak korporat sehingga RM2 juta bukan penyelesaian pandemik Covid-19 di negara ini.

“Saya rasa pindaan Akta 342 ini adalah zalim, kita ada akta sedia ada untuk kerajaan melakukan penguatkuasaan untuk menurunkan angka kes Covid-19.

“Tapi saya tidak tahu kenapa Menteri Kesihatan perlu meminda akta ini kepada pindaan yang lebih zalim.

“Saya rasa memang betul kerajaan perlu tarik balik akta ini dan saya sebagai seorang ahli Parlimen pembangkang tidak akan sokong pindaan akta ini,” katanya berucap ketika Sekretariat Solidariti Rakyat melakukan protes pindaan Akta 342 di Jalan Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai bercakap kepada media selepas menerima memorandum daripada Sekretariat Solidariti Rakyat yang membantah cadangan pindaan Akta 342 dengan menaikkan jumlah kompaun di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai pula menyifatkan kerajaan tidak prihatin kepada kesengsaraan rakyat yang terkesan kehilangan pekerjaan dan hilang pendapatan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Sebagai ahli Parlimen, kita kena pastikan undang-undang yang digubal tidak menzalimi rakyat.

“Undang-undang yang dibuat denda sehingga hukuman penjara ini sesuatu yang sangat tidak masuk akal, tidak munasabah dan kurang rasional.

“Dalam keadaan pandemik, orang semakin susah, kenapa kita kenakan denda sebegitu rupa,” katanya. – MalaysiaGazette