Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam utama kes SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan pasukannya kini dalam usaha mendapatkan beberapa dokumen lain berkaitan kes tersebut.

Beliau berkata, perkara itu diketahuinya dan akan memasukkan satu lagi permohonan keterangan iaitu bukti lanjut dan baharu.

“Kami ada dengar desas-desus perkara itu berkaitan keterangan lanjut yang disembunyikan (suppres), yang tak diberitahu kepada mana-mana pihak sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

“Kami akan membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam satu sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Bagaimanapun bukti-bukti itu tidak boleh didedahkan sekarang.

“Beri kami buktikannya dahulu. Saya tidak mahu cakap atas angin sahaja,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara terbabit.

Muhammad Shafee berharap, pasukan menjangkakan boleh mengumpulkan semua bukti dan memfailkan permohonan baharu dalam tempoh dua bulan akan datang.

“Bukan mudah nak lakukan perkara ini.

“Kadang-kadang nak cari dokumen ini, dalam keadaan banyak pihak berkuasa yang secara aktif menyembunyikannya daripada kita.

“Memang susah untuk kita pecah jalan untuk mencarinya, tetapi insya-Allah kita akan dapat,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Najib pada 28 Julai 2020.

Keputusan tersebut dibuat selepas menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terbabit. -MalaysiaGazette