Anggota polis menulis butiran kompaun kepada tuan rumah dan tetamu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melakukan ziarah Aidilfitri ketika mengadakan pemantauan SOP susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kampung Kenanga, Rawang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Denda RM1,000 semasa pun sudah menyakitkan, inikan pula hendak ditambah.

Itu luahan orang ramai mengenai cadangan penambahan kadar nilai kompaun dalam Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kanmani Selvaraju, 23, berpendapat kerajaan sewjarnya tidak bertindak terburu-buru meluluskan pindaan tersebut kerana rakyat Malaysia masih dalam proses pemulihan dari segi ekonomi selepas negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa pandemik, semua orang tiada duit. Ramai orang yang kehilangan pekerjaan dan semua orang belum pulih lagi,” luahnya.

Kanmani Selvaraju

Jelasnya, jumlah kompaun maksimum RM1,000 yang dikenakan pada masa ini masih boleh diterima walaupun tinggi dan membebankan.

Namun, katanya, jumlah kompaun itu sesuai dinaikkan sekiranya seseorang individu melakukan kesalahan pelanggaran prosedur operasi standaed (SOP) berulang kali.

Pandangan Kanmani turut disokong Normala Kamaruddin, 47, yang menyifatkan kadar kompaun kepada seseorang individu yang ingkar SOP ditingkatkan secara berkala sekiranya terus melakukan kesalahan sama.

“Naik tu berkadarlah, tak bolehlah naik terus kepada RM10,000 atau RM20,000. Itu dah membebankan rakyat pula.

”Kalau RM1,000 ke RM1,500 kemudian RM2,000 bolehlah kita terima,” katanya.

Normala Kamaruddin

Dalam pada itu, Ahmad Faez Bahari, 35, pula berpendapat kerajaan harus terus mendidik rakyat secara kolektif untuk mematuhi SOP daripada peningkatan kadar kompaun.

Beliau mengakui kompaun dikenakan untuk individu melakukan kesalahan sebagai suatu usaha kerajaan mendidik dan mendisiplinkan rakyat,

Namun kaedah yang dipilih oleh kerajaan agak kasar.

“Kerajaan perlu kaji semula kemampuan rakyat dari segi kesihatan mental dan kewangan, sama ada mampu atau tidak untuk bayar kompaun biarpun nilai kompaun RM1,000 sekalipun,” ulasnya.


Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlebih dahulu sebelum bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan melanggar SOP boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 pada masa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast