Bunga-bungaan, mainan dan lilin diletakkan di halaman Sekolah Rendah Hillcrest di bandar Devonport, Tasmania utara ketika penduduk tempatan datang untuk memberi penghormatan. - Foto Stuff

SYDNEY – Lampu Krismas telah dipadamkan dan upacara menyalakan lilin diadakan sebagai tanda berkabung di bandar-bandar Australia di mana lima kanak-kanak maut akibat permainan belon istana meletup.

Tiga kanak-kanak masih dalam keadaan kritikal di hospital di Tasmania dan seorang kanak-kanak dibenarkan pulang semalam, lapor ABC News.

Mangsa yang maut termasuk tiga kanak-kanak lelaki dan dua perempuan berusia 11 atau 12 tahun, kata Pesuruhjaya Polis Darren Hine, yang meminta identiti kanak-kanak itu dirahsiakan.

Ketika kejadian pelajar Sekolah Rendah Hillcrest di Devonport sedang meraikan penghujung tahun persekolahan apabila tiupan angin tiba-tiba mengangkat permainan belon istana menyebabkan mereka terpelanting hampir 10 meter (33 kaki) ke udara.

Penduduk di bandar tersebut berhimpun untuk menyokong keluarga mangsa dan komuniti yang lebih luas di sekitar sekolah tempat kemalangan itu berlaku.

Arahan menyalakan lilin diadakan di luar sekolah pada malam Khamis dan beberapa penduduk memadamkan lampu Krismas sebagai menghormati mangsa.

Datuk Bandar Devonport, Annette Rockliff berkata, tragedi itu pasti akan memberi kesan kepada masyarakat untuk jangka masa yang lama.

“Apa yang sepatutnya menjadi hari yang penuh keseronokan dan perayaan untuk hari terakhir tahun persekolahan telah berakhir dengan cara yang tidak dapat dibayangkan,” kata Rockliff, sambil menambah bendera Australia akan dikibarkan separuh tiang di di dewan perbandaran.

Perdana Menteri Tasmania, Peter Gutwein menyifatkan kejadian itu menyayat hati. – Agensi