Tun Dr. Mahathir Mohamad IJN surgery procedure
Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendoakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) lewat petang semalam kembali diberikan kesembuhan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian menerusi kemas kini di laman Facebooknya malam tadi dan turut berkongsi kenyataan daripada IJN yang memaklumkan mengenai keadaan Mahathir.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesembuhan,” tulis Najib ringkas.

Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan kesembuhan buat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di laman sosial masing-masing malam tadi.

Selain Najib, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sama menitipkan doa buat bekas perdana menteri itu.

“Saya doakan InsyaAllah aafiyah buat @chedetofficial,” ciapnya menerusi laman Twitter tengah malam tadi.

Terdahulu media melaporkan Mahathir dimasukkan ke IJN bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

IJN dalam satu kenyataan memaklumkan, Dr. Mahathir tiba di pusat perubatan itu kira-kira pukul 7 petang semalam.

Menurut IJN, Dr. Mahathir akan menjalani pemeriksaan penuh kesihatan dan memerlukan pemerhatian lanjut. – MalaysiaGazette