Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta yang memandu melawan arus di bulatan Cheras dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda oleh Mahkamah Trafik Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun itu dihadapkan ke mahkamah pada pagi tadi.

“Dia dihadapkan ke mahkamah trafik hari ini sebelum mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan selepas kertas pertuduhannya dibacakan jurubahasa di mahkamah.

“Dia kemudian telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan secara wajib dan didenda RM8,000 selepas disabitkan kesalahannya,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Menurut Sarifudin, mahkamah turut tidak membenarkan tertuduh mengambil lesen memandu selama lima tahun dan kesalahan direkodkan pada lesen memandu.

Pada 13 Disember lalu, polis telah menahan suspek pada jam 10 bagi membantu siasatan selepas mengesan video yang memaparkan insiden kenderaan melawan arus itu tular di laman media sosial.

Suspek, didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Tertuduh juga dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen. – MalaysiaGazette