Timbalan Presiden Bersatu (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Metropolitan Square Damansara Perdana. Foto AFFAN FAUZI, 17 DISEMBER 2021.

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pelebaran sayap Parti Warisan Sabah (Warisan) ke Semenanjung Malaysia bakal menyemarakkan lagi semangat demokrasi dalam negara.

Namun beliau berpendapat, rakyat akan lebih cenderung untuk memilih parti yang mempunyai kombinasi pemimpin berpengalaman dan dipercayai.

“Saya fikir ini (dapat) menyemarakkan lagi semarak demokrasi dalam negara kerana rakyat ada banyak pilihan (parti politik) namun perlu diingat rakyat akan melihat gabungan yang ‘establish‘ seperti Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai pemimpin berpengalaman dan dipercayai.

“Itu yang lebih menarik daripada sebuah parti yang sekadar mengambil peranan dalam proses demokrasi tanpa benar-benar serius untuk menubuhkan kerajaan,” katanya menerusi sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Damansara Perdana hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan Warisan yang telah melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia selepas dilancarkan ke peringkat nasional oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Faizal, Perhimpunan Agung Tahunan PPBM akan diadakan secara fizikal selama dua hari di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) dengan dihadiri kira-kira 1,600 perwakilan daripada 197 bahagian dari seluruh negara.

Jelas ahli Parlimen Tambun itu, perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi bermula esok dan diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

“Kami menjangkakan ucapan dasar Tan Sri Muhyiddin akan menggariskan perkara-perkara penting yang akan menjadi panduan bagi semua ahli-ahli seperti prinsip-prinsip asas dalam perjuangan Bersatu, menyentuh situasi politik semasa terutama dari segi pergerakan Bersatu dalam PN dan juga dalam kerajaan.

“Tentu sekali Presiden akan menekankan tentang asas perjuangan kita dari segi agenda pemegang amanah, menjaga integriti dan tadbir urus dengan baik yang menjadi tawaran yang dibawa oleh Bersatu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette