Temubual eksklusif bersama Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun mengenai Program Kutipan Bantu Kami Bantu Asnaf di Lembaga Zakat Selangor, Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Seramai satu juta penduduk Selangor berumur 25 tahun ke atas dan layak menjadi membayar zakat di negeri ini masih belum menunaikan tanggungjawab mereka di Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sekiranya mereka ini melunaskan tanggungjawab itu, ia dapat membantu dan melancarkan proses agihan zakat oleh LZS kepada golongan asnaf setiap bulan di negeri ini.

Menurut Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun, daripada jumlah tersebut, seramai 500,000 orang berumur antara 25 hingga 34 tahun dan mereka ini menjadi sasaran khusus LZS untuk menjadi pembayar zakat.

”Jumlah pembayar zakat LZS sekarang lebih 300,000 orang, 25 peratus sahaja yang berumur 25 hingga 34 tahun. Selebihnya kategori 35 tahun ke atas. Jadi umur 25 hingga 34 tahun adalah golongan sasaran kita sekarang.

“Kita boleh andaikan kesedaran masih kurang, sebab itu mereka inilah yang LZS cuba dekati,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Fikri berkata, pelbagai pendekatan yang dijalankan oleh LZS untuk menarik minat kategori muda membayar zakat, termasuklah melakukan pendekatan dakwah dan kesedaran melalui platform-platform media sosial, antaranya di Facebook, Instagram dan TikTok.

Platform-platform ini digunakan kerana ia sinonim dengan kecenderungan golongan muda pada masa kini yang banyak meluangkan masa di media sosial.

Seiring dengan perubahan semasa, LZS juga tidak lagi menggunakan edaran taksiran zakat secara manual, sebaliknya menyebarkannya menerusi emel yang dipanggil e-taksiran.

Malah, saluran pembayaran juga dipelbagaikan dengan matlamat memudahkan urusan pembayar zakat yang baharu dan sedia ada.

Medium pembayaran zakat paling terkini yang diperkenalkan pada bulan ini adalah bayaran zakat menerusi kad kredit Islamik secara dalam talian di portal LZS www.zakatselangor.com.my.

“Selain itu, bagi menggalakkan umat Islam di Selangor menunaikan zakat sepanjang Disember ini, LZS menganjurkan kempen ‘Jom Tunai Zakat, Menang dan Kongsi’. Konsepnya siapa yang menunaikan zakat melalui pelbagai saluran yang disediakan, layak menyertai kempen dan berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM17,000. Uniknya kempen ini, sekiranya menang, sebagai contoh mendapat RM5,000 wang simpanan tabung haji, separuh daripada hadiah itu hak pemenang, manakala separuh lagi akan dikongsi dan disalurkan kepada anak asnaf yang cemerlang,” katanya.

Dalam usaha menggalakkan lebih ramai penduduk Selangor membayar zakat, LZS bertoleransi terhadap jumlah zakat yang dikeluarkan apabila menerima pembayaran serendah RM8 daripada setiap pembayar untuk setiap bulan.

“Sepanjang bulan Jun hingga Disember, kita buat Kempen 8 to 8 yang fokus kepada potongan gaji. Kita minta yang belum bayar zakat, mula membayar minimum RM8.

“Tujuan kita memperkenalkan RM8 sebab kita ada lapan golongan asnaf. Ibarat kita beri RM1 kepada setiap golongan itu sebulan.

“Akan datang, zakat juga boleh dibayar di laman e-dagang (e-commerce) terpilih. Ibarat macam kita buka kaunter dalam pasar raya tapi ini melalui dalam talian (online),” tambah beliau.

Semua pendekatan dan kaedah yang diperkenalkan oleh LZS ini bertujuan menggalak dan menambah jumlah pembayar zakat di negeri ini.

Temubual eksklusif bersama Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun mengenai Program Kutipan Bantu Kami Bantu Asnaf di Lembaga Zakat Selangor, Shah Alam. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

Bercakap mengenai tanggungjawab menunaikan zakat, Fikri berkata, semuanya bermula daripada kesedaran, lantaran itu LZS turut memperluaskan dakwah kesedaran mengeluarkan zakat kepada generasi baharu. Usaha ini umpama melentur buluh dari rebungnya.

Fikri berkata, Selangor bakal menjadi negeri pertama yang akan mengajar pendidikan zakat kepada murid Sekolah Agama Rendah dan Menengah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mulai tahun depan.

Katanya, seramai 260,000 murid Tahun 4 dan 5 Sekolah Rendah Agama dan pelajar Tingkatan 1 hingga 4 Sekolah Menengah Agama di bawah jabatan agama itu akan diajar tentang pendidikan zakat secara khusus.

“LZS telah bekerjasama dengan JAIS untuk wujudkan mata pelajaran ini untuk terus memberikan pendidikan awal. Selain itu kita akan ada Kelab Zakat. Penubuhan kelab ini dicadangkan sendiri oleh guru-guru,” katanya lagi.

Dengan mengambil kira semua strategi yang dibuat ini, LZS menaruh harapan kutipan zakat melebihi RM900 juta tahun ini bagi menampung keperluan agihan zakat yang sedang meningkat.

Keyakinan ini berdasarkan rekod bulan Disember pada saban tahun yang mencatatkan jumlah kutipan melebihi RM200 juta pada bulan tersebut sahaja.

Fikri turut mengingatkan tanggungjawab melunaskan zakat amat penting kerana ia dituntut dalam agama Islam.

Bayar zakat terkandung dalam lima rukun Islam, kalau gagal menunaikannya ia adalah satu kesalahan, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast