Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membahas pada Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak telah meluluskan kawasan seluas 5,337 hektar bagi tujuan pembalakan di negeri itu sepanjang tahun ini, kata Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, daripada jumlah itu, kawasan seluas 1,334 hektar telah selesai dibalak manakala seluas 4,003 hektar masih belum dan sedang diusahakan.

Menurut beliau, proses pelesenan adalah mengikut Sistem Pengurusan Memilih (SMS) yang dilaksanakan secara sistematik dan terkawal di bawah Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

“Bagi tahun 2020, sebanyak 6,642 hektar di mana kawasan seluas 6,182 hektar telah selesai dibalak manakala seluas 460 hektar masih belum dan sedang diusahakan.

“Manakala bagi kawasan hutan simpan yang telah diluluskan bagi tujuan pembalakan tahun 2019 adalah seluas 8,058 hektar di mana kesemua kawasan telah selesai dibalak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani memberitahu, sehingga kini, tiada sebarang pencemaran di dalam kawasan Hutan Tadahan Air kerana ia dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan dan juga Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Tegas beliau, langkah mitigasi akan diambil bagi mengatasi pencemaran air sungai di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal di mana setiap aktiviti pembangunan hutan disyaratkan untuk menubuhkan Zon Penampan dengan kelebaran sekurang-kurangnya 10 meter di kiri dan kanan dan mengikut kelebaran sungai untuk mengurangkan kesan water run-off.

Bagaimanapun katanya, jika pencemaran dikesan tindakan pemulihan akan dilakukan dengan mengambilkira pandangan agensi-agensiĀ  teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Perak.

“Jabatan Perhutanan Negeri Perak juga akan melaksanakan aktiviti penanaman pokok-pokok hutan di kawasan yang terlibat.

“JAS Perak juga sentiasa memantau aktiviti-aktiviti yang tertakluk di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Aktiviti perhutanan yang mempunyai kelulusan EIA berdasarkan rekod JAS dari tahun 2015 hingga tahun 2021 adalah sebanyak 32 projek,” katanya. – MalaysiaGazette