Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peruntukan baharu S106A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang telah diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021 memberi kebenaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai.

Bagaimanapun, ia hanya bagi kes-kes yang melibatkan perintah garnisi di mana mahkamah telah memutuskan untuk membenarkan garnisi dibuat, kata LHDNM dalam kenyataan hari ini.

Menurut LHDNM, prosiding garnisi adalah proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak susulan adanya tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai.

“Dengan pengenalan peruntukan baharu ini, ia akan membantu LHDNM mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif dan meminimakan ketirisan cukai disebabkan oleh kegagalan pembayar cukai melangsaikan hutang cukai yang wujud, selain meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela dalam kalangan pembayar cukai.

“Sungguhpun begitu, kuasa yang diberikan di bawah peruntukan baharu ini tidak memberi kuasa mutlak kepada LHDNM untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenangnya. Ia perlulah melalui proses penghakiman yang ditetapkan, dan hanya terhad kepada kes-kes yang telah pun melalui prosiding sivil terlebih dahulu,” katanya.

LHDNM menjelaskan, bagi pembayar cukai yang sedia menjalankan tanggungjawab percukaian mereka dengan teratur, pengenalan S106A ACP 1967 ini tidak sepatutnya menimbulkan sebarang keresahan atau kerisauan kerana peruntukan ini tidak terpakai kepada mereka.

Justeru katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pindaan baharu ACP 1967 itu.

“Sebagai kesimpulan, peruntukan baharu S106A ACP 1967 ini hanya memberi kuasa kepada LHDNM untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai setelah tindakan garnisi dibenarkan oleh mahkamah.

“LHDNM sekali lagi menekankan bahawa maklumat akaun bank pembayar cukai sedia ada yang tidak melibatkan tindakan garnisi tidak dapat diakses oleh LHDNM melalui peruntukan baharu ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette