Keadaan kawasan penempatan penduduk yang rosak teruk selepas Gunung Semeru meletus pada 4 Disember 2021. foto Detik.com

JAKARTA – – Pihak berkuasa Indonesia meletakkan Gunung Semeru pada status berjaga-jaga tahap tiga – kedudukan kedua tertinggi kerana aktiviti gunung berapi semakin meningkat dan memuntahkan awan panas tebal serta lahar dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Ketua Agensi Geologi di Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Eko Budi Lelono berkata, Gunung Semeru aktif memuntahkan awan panas dan aliran laharnya masih tidak stabil.

Gunung berapi itu boleh ‘menyerang’ sekurang-kurangnya sehingga radius dua kilometer dari kawahnya.

Satu lagi letupan sangat mungkin disebabkan oleh intensiti hujan yang tinggi di sekitar gunung berapi, yang akan menyebabkan peningkatan aliran lava, kata Lelono dalam satu kenyataan bertulis.

Status berjaga-jaga lebih tinggi Gunung Semeru bermula pada petang Khamis, beberapa jam selepas gunung berapi itu meletus semula selepas 4 Disember lalu dan memuntahkan lava beberapa kali.

Sehingga 15 Disember, angka kematian mencecah 48 orang, menurut data Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

BNPB mengesahkan aktiviti mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan demi keselamatan penyelamat dan sukarelawan. – Xinhua