Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Armada mengakui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kurang berpengalaman menghadapi pilihan raya.

Malah, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kebanyakan ahlinya juga tidak mempunyai pengalaman dalam arena politik sebelum ini.

Situasi ini merupakan cabaran utama bagi Bersatu menghadapi pilihan raya bukan sahaja di Melaka malahan juga di Sabah.

“Benar ini antara cabaran utama Bersatu bukan sahaja parti nasional tapi termasuklah Armada. Ahli Armada pun semua pertama kali sertai politik. Saya pun pertama kali isi borang parti politik.

“Jadi kami memang kurang pengalaman, kurang ilmu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Armada, hari ini.

Walaubagaimanapun, Wan Ahmad Faysal berkata, ahli PPBM bersedia memperbaiki kesilapan sebelum ini tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak. -MalaysiaGazette