Lebih puluhan kereta berhenti ditengah jalan akibat laluan jalan utama dinaiki air berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

KLANG – Jumlah mangsa banjir di negeri Selangor kini mencecah seramai 3,086 orang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, keseluruhan mangsa banjir itu melibatkan dua daerah di negeri ini iaitu seramai 482 orang di Sepang manakala 2,604 orang lagi di Klang.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 30 PPS telah dibuka bagi menampung kesemua mangsa banjir yang dipindahkan selepas kediaman mereka mula ditenggelami banjir.

“Bagi daerah Klang, seramai 793 mangsa banjir telah dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia diikuti 681 kini ditempatkan di SK Telok Gong, Masjid Al Islah (256), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah yang menempatkan penduduk Kampung Orang Asli Pulau Indah (190), Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek (150).

“Selain itu, seramai 130 mangsa ditempatkan di SRA Pulau Indah, Balai MPKK Perigi Nanas (75), Masjid Al Ubudiah (74), SRA Kampung Batu 4 (68), SRA Pekan Kapar (62), Dewan Orang Ramai Tok Muda (57), SK Sungai Bijai (50), Dewan Serbaguna MPK Kampung Jawa (46), SK Jalan Kebun (30), Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kapar (9) serta masing-masing lima mangsa ditempatkan di SRA Padang Jawa dan Balai MPKK Sungai Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, Balai MPKK Bukit Naga turut dibuka sebagai PPS namun jumlah sebenar mangsa masih sedang dikemas kini.

Sementara itu, beliau berkata, bagi daerah Sepang seramai 143 mangsa banjir di pindahkan ke SMK Telok Panglima Garang diikuti 72 mangsa ditempatkan di SK Kebun Baru.

“Seramai 75 mangsa banjir ditempatkan di SK Olak Lempik, Banting manakala 44 lagi di Balai Raya Kampung Giching, Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (36), SRA Bukit Changgang (35), SK Sri Cheeding (35), Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) (22) dan Dewan MPKL SK Sungai Buaya (20),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast