Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Para pelancong dinasihatkan supaya keluar dari Taman Negara Kuala Tahan di Hulu Tembeling berikutan banjir yang melanda di kawasan sekitarnya.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, tiada pelancong dibenarkan masuk ke taman negara itu manakala kenderaan ringan dinasihatkan agar tidak menggunakan jalan dari Kuala Tahan ke Mukim Hulu Tembeling

“Larangan sepenuhnya penggunaan jalan Kuala Tahan ke Mukim Hulu Tembeling bagi kenderaan berat,” katanya.

Tambahnya, sehingga jam 8 malam, sebanyak lima daerah telah dilanda banjir iaitu Lipis, Jerantut, Raub, Maran dan Kuantan.

Berikutan itu, katanya, sebanyak 72 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan sebanyak 928 keluarga telah dipindahkan ke pusat tersebut.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang giat untuk memulihkan gangguan bekalan elektrik di 14 kawasan yang terjejas berikutan keadaan cuaca buruk.

Kawasan tersebut ialah Bandar Sungai Lembing, Jeram Takar, Kolong Pahat, Sungai Rimau, Terowong Sungai Lembing, Metra Admiral, Kampung Melayu, Pam Air Kuala Kenau, Sungai Mas,
Kuala Kenau, Loji Penapis Air, Kilang Papan Wan Abdullah, Kolek dan Soon Seng. – MalaysiaGazette