Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya akan mengikut keputusan yang dicapai oleh akar umbi serta suara majoriti berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta pemilihan parti.

Beliau berkata, mandat yang diberi sebagai presiden tidak akan digunakan untuk mengikut kata minoriti, sebaliknya setiap keputusan akan dibawa kepada meja rundingan kepimpinan tertinggi parti itu.

“Selepas saya mendapat keputusan daripada perwakilan mengenai usul yang diberikan, ia akan dibawa dibincangkan dengan lima kepimpinan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden sebelum dibawa kepada mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Setiap daripada lima pemimpin ini akan menilai dengan terperinci keputusan dan melihat implikasinya, tidak hanya meluluskan dan ia akan dimuktamadkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO pada Januari depan.

“Keutamaan akan diberikan kepada memperkukuhkan parti dan memenangi pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas terdapat cadangan agar PRU-15 diadakan selepas pemilihan parti dan ada juga sebaliknya.

“Saya amat meraikan dan menyantuni perbezaan pendapat, apatah lagi kepelbagaian pandangan yang dilontarkan.

“UMNO mendengar banyak suara-suara dalaman parti yang mahu pemilihan UMNO hanya diadakan selepas PRU-15.

“UMNO turut mendengar desakan sebilangan kecil meminta supaya pemilihan UMNO diadakan lebih awal sebelum PRU-15,” katanya.

Jelas beliau, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian hari ini akan menetapkan usul masing-masing berhubung perkara itu.

“InsyaALLAH, sebagai Presiden parti politik milik rakyat dan lebih 3.3 juta ahlinya, saya amat demokratik dalam perkara ini.

“Saya akan sentiasa menghormati suara akar umbi dan keputusan yang dibuat berdasarkan suara majoriti,” jelasnya.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, falsafah serta jati diri parti itu perlu dipertahan dan diperakui dulu, kini dan selamanya.

“Saya amat berharap seluruh ahli serta pimpinan UMNO turut menghormati apa sahaja ketetapannya kelak.

“Janganlah kita lakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang akan diputuskan, kekalkan perpaduan berterusan.

“Walau apa ketetapannya nanti, InsyaALLAH UMNO telah bersiap siaga untuk berdepan PRU-15 pada bila-bila masa,” ujarnya. -MalaysiaGazette