Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Majlis Perasmian Sayap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan (Warisan) disifatkan sebagai parti yang tidak konsisten selepas bertindak melebarkan sayap ke peringkat nasional.

Ini kerana, sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu  ditubuhkan khusus untuk Sabah.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, langkah Shafie itu membuktikan beliau tidak konsisten dalam perjuangannya.

“Ini bermakna Warisan tak konsisten dalam perjuangan dia, yang ada kebanyakannya parti-parti yang berjuang atas short term (untuk tempoh pendek) semata-mata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, hari ini.

Namun, langkah panjang Warisan itu membuktikan  sistem demokrasi negara tidak diabaikan.

Keputusan parti berkenaan untuk bekerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada pilihan raya akan datang juga bukti negara ini tidak menghalang pergerakan parti politik.

“Sistem demokrasi di negara kita ni benar-benar bebas. Kita tidak menyekat mana-mana orang untuk berjuang melalui politik masing-masing mengikut agenda masing-masing di seluruh negara,” katanya lagi.

Warisan secara rasmi berada di Semenanjung selepas pelancaran parti di peringkat nasional, semalam.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan membuat pengumuman berkenaan pandaftaran parti Muda pada Isnin ini.

“Masa kita nak luluskan tempoh hari, mereka (Parti Muda) telah banyak lakukan kesalahan seperti lakukan demonstrasi dan buat perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara, maka mengikut akta itu, maka saya terpaksalah untuk tidak meluluskan kerana ramai daripada jawatankuasa penaja mereka adalah individu yang melakukan kesalahan.

“Tapi oleh kerana mahkamah dah putuskan untuk beri peluang dan dikatakan ia adalah hak mana-mana untuk menubuhkan parti, maka saya sudah pun bincangkan perkara ini dengan perdana m1enteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),  saya umumkan Isnin nanti Insya-Allah,” tambah beliau.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari.

Dalam masa yang sama, kementerian itu diarah membayar kos sebanyak RM10,000.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast