Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) melihat barangan asas yang dijual pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Warga Putrajaya dipelawa untuk hadir ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berlangsung hari ini hingga esok bagi mendapatkan barangan keperluan dengan murah.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program tersebut merupakan inisiatif oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam memenuhi keperluan pengguna di wilayah Putrajaya.

Katanya, menerusi aktiviti itu ia mampu menangkis tohmahan negatif segelintir pihak terhadap KPDNHEP dan ia menunjukkan bahawa kerajaan sangat prihatin dan peduli rakyat.

“Saya berkeyakinan dengan adanya inisistif oleh KPDNHEP ini sudah pastu rakyat akan dapat membeli barangan dengan harga lebih murah daripada peniaga yang kurang prihatin…jadi, ini inisiatif-inisitif kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan walkabout sempena PJKM di sini, hari ini.

PJKM yang dikendalikan KPDNHEP adalah usaha kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

Program itu mendapat kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia serta agensi-agensi di bawahnya dan rakan-rakan strategik dari sektor pemborong dan peruncitan dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan negara ketika ini.

Program itu dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan bagi tempoh tuga bulan bermula 4 Disember 2021 hingga Mac 2022 merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di lokasi-lokasi yang akan ditentukan dan diumumkan kelak.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

Dalam pada itu, Tengku Adnan mengucapkan jutaan terima kasih dah tahniah kepada anggota KPDNHEP atas kegigihan mereka untuk menjayakan program berkenaan meskipun dalam cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, sikap mereka itu jelas menunjukkan bahawa usaha untuk mendahulukan rakyat dalam memenuhi keperluan mereka menjadi tanggungjawab yang perlu diberi keutamaan tanpa mengira situasi dan keadaan.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast