Tiga suspek kes tikam di Balakong jaya akibat perselisihan faham sesama ahli geng pada 4 November lalu iaitu Sayang, Shan dan Che Meng sedang dikesan polis untuk membantu siasatan polis.Ihsan Polis Kajang

KAJANG – Polis melancarkan operasi mengesan tiga individu yang disyaki terlibat dalam satu insiden seorang lelaki parah ditikam di kawasan Taman Balakong Jaya, di sini, pada bulan lalu.

Dalam insiden pada hari sambutan Deepavali itu, mangsa mengalami kecederaan parah akibat tikaman di belakang badan disebabkan perselisihan faham dengan rakan-rakannya itu dirawat di Hospital Serdang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada 4 November lalu, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Serdang berkaitan seorang pesakit lelaki mengalami cedera parah akibat tikaman objek tajam di bahagian belakang badan.

“Pesakit kemudiannya telah menjalani rawatan dan ditahan di wad kecemasan hospital terbabit hampir satu bulan.

“Namun, pada 14 Disember lalu, pegawai perubatan dari hospital berkenaan telah menghubungi polis dan mengesahkan pesakit mangsa tikaman itu telah meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan yang dialami,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, tambah beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rentetan daripada kejadian ini, menurut Mohd Zaid, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menangkap tiga suspek lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan itu.

Ujarnya, ketiga-tiga suspek yang ditangkap berusia lingkungan 20 hingga 30an.

“Siasatan lanjut polis mendapati beberapa orang suspek yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut masih bebas.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis sedang mengesan tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes ini.

“Ketiga-tiga suspek itu dikenali sebagai Shanmugavadivelu Mogan dengan nama panggilan Shan, 25, Vikneshvarn Thiagarajan, 23, atau nama samaran ‘sayang’ dan Cheong Chee Min, 25 dengan nama panggilan Che Meng.

“Shan beralamat terakhir di C1-01, Blok C, Seri Pulai Jalan Balakong Jaya, Balakong dan Sayang berlamat di LC-A3-AA Pangsapuri Seri Pulai Kos Rendah Taman Balakong Jaya dan Che Meng beralamat terakhir di C-3-31, Blok C, Seri Pulai Jalan Balakong Jaya, Balakong,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu ASP Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108. – MalaysiaGazette