SEBERANG PERAI – UMNO Pulau Pinang tetap dengan pendiriannya untuk bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, piagam yang ditetapkan dalam Muafakat Nasional akan didukung dalam PRU-15.

Jelas beliau, UMNO negeri akan bekerjasama dengan Pas berhubung pembahagian kerusi calon pada PRU akan datang namun keputusan akhir akan ditetapkan oleh pucuk pimpinan.

“Saya sudah jelaskan kepada semua ahli UMNO negeri ini yang mana kita tidak pernah putuskan silaturrahim dengan Pas. Orang lain saya tak tahu, tapi kita memang perlukan mereka (Pas) di Pulau Pinang.

“Kita kena ingat, Melayu di sini (Pulau Pinang) yang akan mengundi lingkungan 30 peratus saja jadi kenapa kita masih nak berpecah? Kalau Pas nak bertanding di mana bagi tau kita boleh bincang.

“Kita sudah ada perbincangan dengan Pas berhubung pembahagian kerusi untuk PRU-15 sebelum ini positif namun saya akan berhubung  semula dengan Pesuruhjaya Pas negeri selepas ini untuk menyatakan kita akan terus kerjasama untuk PRU akan datang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Mertajam di The Light Hotel di sini, hari ini.

Tambah Musa, setakat ini 15 kerusi akan ditandingi UMNO di negeri ini pada PRU akan datang namun pihaknya sedia berkompromi dengan Pas sekiranya mereka mahu meletakkan calon di 15 kerusi itu.

“Kita hanya akan berkompromi dengan Pas saja, Bersatu atau mana-mana calon yang telah lompat parti kita tidak akan bekerjasama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette