PASIR GUDANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan sokongan UMNO terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya bersifat sementara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Katanya, parti itu setuju menyokong kerajaan sedia ada kerana mengutamakan pemulihan negara akibat pandemik Covid-19 kerana jika sebaliknya orang Melayu akan terkesan.
“Walaupun kerajaan sekarang dipimpin oleh pemimpin UMNO, ia bukan kerajaan UMNO, ia hanya mempunyai Perdana Menteri daripada UMNO. Ia adalah kerajaan interim. Sebuah kerajaan yang terbentuk tanpa mandat rakyat.
“Kita menyokong penuh perdana menteri dan menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan tetapi semuanya hanya bersifat sementara,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Jaya di sini hari ini.
Katanya, UMNO tidak boleh membiarkan Kerajaan Persekutuan dengan sokongan sedia ada untuk menguruskan Malaysia yang sudah tiga kali bertukar perdana menteri dalam masa 43 bulan.
Khaled berkata, budaya gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah negara seperti bergantung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau PH tidak perlu wujud.
“Budaya nyawa simpanan mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa daripada orang lain dan kita sudah pastinya tidak akan memberikan nyawa kepada orang lain,”katanya.
Menurut beliau, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, terdapat pemimpin UMNO yang meramalkan parti itu akan tewas.
Selain ada yang mendesak supaya UMNO menerima kerjasama pelbagai pihak termasuk Bersatu.
“Sedangkan UMNO jelas membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang merosakkan parti ini.
“Jika pemimpin UMNO sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap kemampuan UMNO, sukar untuk kita mengharapkan keyakinan dan sokongan orang Melayu secara umum,” katanya.-MalaysiaGazette