Tengku Zafrul Abdul Aziz personal emergency Parliament no-show
Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Sektor perbankan bersedia menawarkan program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan akibat banjir.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia hasil perbincangan pihaknya dengan Bank Negara, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM).

“Butiran lanjut akan dikongsi oleh ABM, AIBIM, ADFIM dan bank-bank yang terlibat dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut Tengku Zafrul, sebagai usaha permulaan, jumlah keseluruhan sebanyak RM50 juta akan disediakan oleh Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan
(GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Jumlah ini merangkumi geran padanan berjumlah RM25 juta dari kerajaan manakala GLIC/GLC akan bersama-sama memperuntukkan RM25 juta.

“Jumlah RM50 juta ini akan diaktifkan melalui GLC/GLIC Disaster Recovery Network (GDRN)1 bagi membantu mangsa bencana banjir,” katanya.

Sehubungan itu, sejak 17 Disember lalu, GDRN telah mula memantau keadaan banjir seluruh negara.

GLIC dan GLC yang merupakan sebahagian dari GDRN telah mula turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Ini termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah pun menyediakan pusat pembelajaran KWSP yang mempunyai 152 bilik sebagai pusat penempatan sementara bagi mangsa banjir.

“Telekom Malaysia (TM) yang telah mengaktifkan pusat arahan krisis mereka diseluruh negara dan Pasukan PAKAR semboyan TM kini bersedia untuk memberikan bantuan komunikasi dan perkhidmatan kecemasan yang melibatkan talian internet dan telefon seluruh negara,” ujarnya.

Selain itu, TM turut menyediakan bantuan kepada kakitangan dan komuniti setempat yang terkesan akibat banjir.

“Pharmaniaga dan MASKargo yang sedang giat menghantar bantuan ke pusat-pusat penempatan semula bagi mangsa-mangsa banjir.

“Yayasan Sime Darby yang sedang menghulurkan bantuan kepada pekerja-perkerja dan komuniti yang tinggal di perladangan di bawah Sime Darby Plantations.

“Pharmaniaga, Malaysia Aviation Group dan GLC-GLC yang juga sedang membantu pekerja-pekerja mereka dan komuniti setempat yang terjejas,” katanya.- MalaysiaGazette