mayat seorang perempuan dipercayai warga asing dan bangsa tida dapat pasti ditemui di tepi jalan Jalan Batang Kali - Selayang, Ulu Yam Baru arah Batang Kali pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang perempuan ditemui di tepi Jalan Batang Kali-Selayang, Ulu Yam Baru.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Katanya, mayat wanita itu ditutup dengan sehelai kain selimut warna merah jambu dan juga terdapat sehelai kain warna putih.

“Si mati memakai baju bercorak batik warna merah, hitam, putih berseluar panjang petak petak warna coklat dan berseluar dalam celoreng.

“Pemeriksaan lanjut pada mayat, tiada sebarang dokumen pengenalan diri milik si mati dijumpai di tempat kejadian dan tiada tanda suntikan BCG pada bahagian lengan simati dan dipercayai warganegara asing,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pihaknya menerima aduan mengenai penemuan itu pada jam 8.30 pagi semalam.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kedua-dua belah mata dan kesan bengkak di bahagian dahi.

“Mayat si mati telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan bedah siasat.

“Setakat ini, kes telah diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diketahui,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Kolanthaivelu A/L Raman di talian 019-2579232 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette