Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan beberapa perkhidmatan tren penumpang telah terjejas berikutan banjir luar biasa yang berlaku semalam.

Dalam kenyataan hari ini, KTMB berkata, hujan lebat sejak semalam telah menyebabkan beberapa operasi tren terjejas di sektor Pantai Timur dan juga  Lembah Klang .

“Oleh itu, kami terpaksa membatalkan beberapa perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang,” menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Tahai.

Tambah beliau, angin kuat juga telah menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan alat talian atas selain landasan keretapi juga telah terjejas selepas ditenggelami air di beberapa tempat yang menyebabkan kelewatan serta pembatalan tren.

“Justeru kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai status terkini operasi tren KTMB, katanya, perkhidmatan tren KTM Komuter membabitkan tren dari KL Sentral menuju ke Pelabuhan Klang akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan berpatah balik semula ke KL Sentral.

“Tiada perkhidmatan tren KTM Komuter yang akan diteruskan dari Stesen Batu Tiga menuju ke Stesen Pelabuhan Klang dan juga sebaliknya berikutan banjir dan tanah mendap yang berlaku di antara kawasan Padang Jawa dan Shah Alam.

“Namun, semua perkhidmatan ETS pula terus beroperasi seperti biasa, sementara perkhidmatan tren Ekspres Rakyat Timuran No. 26 dan 27 laluan Kempas Baru akan beroperasi seperti biasa.

“Manakala perkhidmatan Shuttle Timuran untuk semua laluan akan beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zain juga menjelaskan perkhidmatan Skypark Link juga tidak terjejas dengan banjir dan akan beroperasi seperti biasa untuk penumpang.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan semua perkhidmatan tren kargo KTM dari Pelabuhan Klang akan digantung sementara sehingga paras air di Stesen Batu Tiga kembali surut dan landasan di sektor Padang Jawa dan Shah Alam kembali pulih.

“Para penumpang yang terjejas boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh atau menukar tarikh perjalanan melalui e-wallet KITS atau di kaunter mengikut terma dan syarat.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari Facebook rasmi KTMB,” tegas beliau.- MalaysiaGazette