Penduduk yang kediamannya terjejas akibat banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 181 mangsa banjir kesan Covid-19 berikutan saringan yang dilakukan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan ia dijangka meningkat pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kebanyakan kes jangkitan virus itu adalah kategori satu dan mereka telah dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) serta pusat pemindahan khusus.

“Ada 206 bilangan mangsa banjir yang kontak rapat dan mereka ini dipindahkan PTS (Pusat Tahanan Sementara) atau PKRC atau stesen kuarantin,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Daripada 181 kes positif Covid-19 itu, enam kes dikesan di Kelantan, 52 kes di Pahang dan 117 kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Melaka dan Negeri Sembilan selain empat kes di ibu negara.

Bagaimanapun, KKM katanya, telah bersiap siap untuk menerima peningkatan kes disebabkan banjir.

“KKM menjangkakan disebabkan bencana banjir ini mungkin akan berlaku peningkatan kes disebabkan keadaan pemindahan yang terpaksa dibuat dalam keadaan yang sangat berisiko tinggi.

“Kita amat memahami ini dilakukan untuk menyelamatkan mereka dan kadang kala tidak dapat dielakkan.

“KKM telah bersiap siaga untuk menerima kes disebabkan musibah bencana banjir yang telah melanda negara,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata kementerian itu akan menambah pegawainya di lapangan untuk memantau penularan kes di pusat-pusat pemindahan banjir di seluruh negara.

“Di Pahang kita ada 291 pegawai dan kita akan teruskan saringan kita di PPS supaya kita dapat kenalpasti mereka yang positif Covid-19 dan diasingkan serta kontak rapat mereka dikenalpasti dan diasingkan.

“Ini kita sedang lalukan di lapangan selain daripada bekalan pelitup muka dan cecair sanitasi untuk dihantar ke PPS yang telah bermula dua hari lepas,” katanya. – MalaysiaGazette