Proses cili boh berhampiran jamban, kilang kicap di Sungai Pinang, Pulau Pinang diarah tutup serta merta.

GEORGE TOWN – Menjijikkan. Begitu keadaan sebuah kilang memproses cili boh dan kicap bukan Islam di Sungai Pinang, di sini, apabila tempat memproses bahan mentah itu hanya terletak kira-kira satu meter dari jamban pekerja.

Lebih meloyakan bekas simpan cili kisar itu diletakkan di atas lantai yang lecak dengan limpahan air tandas.

Penemuan itu diperoleh hasil serbuan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika menyerbu kilang yang sudah beroperasi hampir 100 tahun kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Mohd Wazir menunjukkan jarak jamban dengan tempat memproses cili boh di kilang berkenaan.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan najis tikus di sekitar tempat memproses dan menyimpan bahan memproses kicap.

Jelas beliau, kilang itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini, namun pemilik masih gagal untuk memastikan tahap kebersihan dan lebih teruk apabila tempat proses bahan mentah terletak berhampiran tandas.

“Kalau kita lihat tempat kisar cili boh dengan tandas itu terletak kurang satu meter ini sekali gus boleh menyebabkan berlaku pencemaran bakteria e-coli termasuk terkena percikan air itu ke arah bahan yang sedang diproses.

Najis tikus turut ditemui di kilang berkenaan.

“Selain itu, kita juga dapati pemilik premis menggunakan tong gentian kaca yang sudah mula mereput untuk proses perapan. Ini berisiko kerana kita bimbang bahan kimia itu jatuh ke dalam bekas perapan kicap,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Tambah Wazir, hasil siasatan juga mendapati pemilik premis memasarkan bahan keluarannya kepada peniaga dan peruncit utara Semenanjung.

Mohd Wazir menunjukkan tong gentian kaca hampir reput masih digunakan untuk proses perapan kicap.

“Susulan kita dapati tahap kebersihan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, kicap dan cili boh itu diarahkan tutup serta merta.

“Kita turut mengeluarkan tiga kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk meletakkan bahan makanan di atas lantai.

“Notis penutupan selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan,” kata beliau. – MalaysiaGazette