(Dua dari) Lim Chee Siong, Datuk KY Lim (dua dari kanan) dan Marcus Low (kanan).

KUALA LUMPUR – Homevest Sdn Bhd (HOMEVEST) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi perkongsian strategik melaksanakan penyelesaian inovatif dalam pembangunan bandar pintar.

Dengan pemeteraian MoU tersebut, Bandar Pintar HOMEVEST akan dilengkapi dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibekalkan oleh Huawei untuk mengoptimumkan kedayatahanan ekonomi serta persekitaran sekali gus meningkatkan kualiti hidup pelanggan mereka.

Naib Presiden, Penstoran Awan (Cloud) dan Kecerdasan Buatan (AI) Huawei Malaysia, Lim Chee Siong berkata, dengan menggabungkan teknologi canggih dan kemudahan pintar ke dalam rumah, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada gaya hidup bandar yang lebih cekap, produktif dan mampan.

Menurut beliau, konsep Bandar Pintar telah menjadi pendekatan penting dalam pembangunan bandar mampan banyak negara maju dan yang sedang membangun dengan menggunakan teknologi seperti Rangkaian Tanpa Wayar Termaju, Objek Rangkaian Internet (ORI) dan Pengkomputeran Awan.

Jelasnya, Komunikasi dan Kerjasama Bersepadu (UC&C) serta Pusat Operasi Pintar (IOC) adalah penyelesaian utama yang membolehkan inisiatif Bandar Pintar dilaksanakan.

“Dalam sektor bandar pintar, Huawei akan menumpukan kepada infrastruktur ICT dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mengatur ekosistem yang teguh dengan penyelesaian menyeluruh untuk pelanggan mereka.

“Kami bersedia untuk menyediakan kepakaran dan sokongan dengan jalinan kerjasama bagi memastikan kejayaan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huawei Cloud kini menjadi syarikat  pembekal khidmat Awan Awam Global utama yang seiring dengan jenama itu sejak 30 tahun lalu.

HOMEVEST pula merupakan syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah terkemuka sedang dalam perancangan untuk membangunkan ekosistem bandar pintar yang mampan bagi memenuhi kehendak pertumbuhan dan populasi penduduk bandar yang padat.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST, Datuk KY Lim optimis dan bangga dengan kerjasama terjalin dengan syarikat gergasi teknologi komunikasi dari China itu.

“Perkongsian itu sejajar sepenuhnya dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus HOMEVEST. Dasar dan visi kami ialah untuk membentuk komuniti smart living dengan hubungan yang erat,” katanya.

Bagi Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST, Datuk Marcus Low, beliau percaya pakatan strategik itu seiring dengan impian di hajati pihaknya

“Dalam pelan hala tuju masa depan, kami melihat diri ini sebagai syarikat pembangunan hartanah pilihan dengan fokus untuk memacu kemampanan dalam pembangunan bandar pintar sambil mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan pemilik rumah kami,” katanya.

Terdahulu, HOMEVEST dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pembangunan Lestari anjuran Junior Chamber International Malaysia (JCIM) 2021 bagi projek tanggungjawab sosial korporat yang dimulakan semasa pandemik COVID-19.

Ditubuhkan pada 2016, HOMEVEST menawarkan nilai pulangan untuk rakan kongsi mereka dan menyediakan pemilikan rumah mampu milik untuk pelanggan.

Untuk berita dan maklumat terkini mengenai HOMEVEST, sila ikuti perkembangan kami melalui laman web HOMEVEST: www.homevestglobal.com atau media sosial: https://www.facebook.com/HomevestGlobal. – MalaysiaGazette