The body of the staff from MAHB was found after he went missing since Saturday. PIX: COURTESY OF THE SEPANG POLICE HEADQUARTERS
The body of the staff from MAHB was found after he went missing since Saturday. PIX: COURTESY OF THE SEPANG POLICE HEADQUARTERS Mayat seorang kakitangan MAHB ditemui lepas selepas hilang pada Sabtu lalu. - Foto Ihsan IPD Sepang.

KUALA LUMPUR – Baru 10 hari mendirikan rumah tangga, seorang lelaki yang dilaporkan hilang semasa meredah banjir ditemui mati lemas di Sepang, Selangor hari ini.

Mangsa, Allahyarham Muhammad Syafiq Saharuddin, 26, merupakan Pegawai Operasi Bahagian Pengurusan Pelanggan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa baru mendirikan rumah tangga pada 12 Disember lalu di tempat tinggalnya Kampung Baru Lanjut, Sepang.

Mayat mangsa ditemui lemas di sebuah tali air berhampiran Desa Salak Pekerti pagi tadi.

“Pada hari hujan lebat dan banjir besar 18 Disember lalu, mangsa kali terakhir dilihat oleh adiknya sekitar pukul 4.30 petang ketika meredah banjir untuk mengambil barang rumah di Kampung Baru Lanjut dan ketika itu air paras dada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Wan Kamarul Azran, selepas itu mangsa tidak ditemui dan ahli keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi.

Kemudiannya hari ini kira-kira pukul 11 pagi, penduduk Taman Salak Pekerti menemui mayat terapung di belakang rumahnya dan menghubungi polis.

“Pemeriksaan tubuh badan mangsa dapati tiada unsur-unsur jenayah dan dipercayai mati lemas. Si mati tidak mempunyai sebarang simptom Covid-19 dan mayat mangsa telah dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” kata Wan Kamarul.

Berita takziah yang dimuat naik oleh MAHB dalam FB rasminya selepas mendengar pemergian salah seorang kakitangannya yang ditemui lemas pagi tadi di Sepang.Sumber MAHB

Dalam pada itu, MAHB dalam laman Facebook rasminya turut berkongsi berita kematian allahyarham.

Dalam mesej ringkas, MAHB menyatakan allahyarham telah berkhidmat sebagai pegawai operasi di bahagian pengurusan pelanggan.

“Dukacita dimaklumkan seorang warga kerja Malaysia Airports, Encik Muhammad Syafiq Saharuddin telah terkorban dalam bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar buat kami semua. Allahyarham yang baru mendirikan rumahtangga minggu lalu amat disenangi oleh keluarga dan rakan-rakannya.

“Beliau merupakan anggota yang berdedikasi, beretika tinggi serta ikhlas dalam melaksanakan tugasannya,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette