BENCANA banjir yang berlaku kali ini dianggap luar biasa dan luar jangka.
Hujan lebat selama dua hari menyebabkan banyak lokasi seluruh negara dilanda banjir teruk terutama kawasan Shah Alam dan Klang yang bagaikan lumpuh.
BACA: Shah Alam terkepung, ramai terkandas sejak semalam
Bayangkan jumlah hujan dalam sebulan turun dalam masa sehari ditambah pula dengan fenomena air laut pasang dan saliran tersumbat.
BACA: Taburan hujan semalam menyamai purata taburan sebulan, hanya terjadi 100 tahun sekali
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor taburan hujan telah mencecah 380 milimeter (mm) dan jumlah berkenaan lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini iaitu kira-kira 180mm.
Mangsa pasti mengalami kerugian kerana rumah, harta benda dan kenderaan ditenggelami air.
Bagi sesetengah kawasan yang tidak pernah dinaiki air pun dilanda banjir kali ini menyebabkan mereka yang tidak bersedia menjadi mangsa dan tinggal sehelai sepinggang.
Kedua, mangsa kali ini mengalami trauma kerana menjadi saksi air banjir besar selain beratus-ratus pengguna jalan raya terkandas dan terpaksa ‘bermalam’ dalam kereta di tepi jalan.
Pengalaman tidur dalam kenderaan dengan anak kecil sehingga ada terpaksa buang air kecil di dalam botol pasti tidak mahu diulangi.
Malah boleh kata semua hotel di Shah Alam dan Klang penuh ditempah oleh mangsa banjir.
Malah ada kes mangsa mati kerana terkena renjatan elektrik selepas meredah banjir di Dengkil.
BACA: Lelaki maut kena renjatan elektrik ketika redah banjir
Manakala di Sungai Penchala, ada warga emas terperangkap dalam rumah selepas berlaku kejadian tanah runtuh.
BACA: Lelaki terkurung dalam rumah akibat tanah runtuh di TTDI
Lebih memilukan, puluhan mangsa banjir di Hulu Langat terpaksa naik atas bumbung selama beberapa jam menunggu diselamatkan termasuk kanak-kanak.
Kejadian banjir itu juga menambah perit kepada penduduk Lembah Klang apabila beberapa loji rawatan air terpaksa ditutup dan menyebabkan gangguan bekalan air.
‘Malang bertimpa’ itu pasti menyebabkan kesukaran penduduk membersihkan kesan-kesan banjir dan urusan seharian.
Di media sosial, mangsa yang terperangkap di Batu Tiga Lama di Shah Alam mendakwa sekiranya pihak pengurusan lebuhraya lebih awal membuka pusingan u lebih banyak pasti mereka yang terkandas tidak ramai.
Satu lagi tiada tindakan menahan kemasukan kenderaan dari Kuala Lumpur di Lebuh Raya Persekutuan menambahkan lagi kesesakan mangsa terkandas.
Apa yang berlaku menyebabkan ramai mempersoalkan kenapa amaran Jabatan Meteorologi mengenai hujan berterusan membabitkan 12 negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tidak diiringi langkah proaktif dan segera kepada pihak berkuasa dan masyarakat.
Sikap memandang remeh ramalan kaji cuaca masih tebal dalam kalangan kita.
Satu lagi sudah tiba masa sistem perparitan di Lembah Klang dilihat semula bagi memastikan salirannya tidak terhalang dek sampah dan bahan buangan.
Banjir kilat setiap kali hujan lebat sebenarnya sudah lama memberi kita amaran.
Selain itu, sudah tiba masa kita menggalakkan rakyat dilatih bersedia menghadapi sebarang bencana kerana itu bukan amalan rakyat Malaysia.
Aspek latihan, kesiapsiagaan rakyat itu sangat penting kerana musibah boleh berlaku dalam pelbagai cara.
Walaupun kita ada angkatan pasukan keselamatan yang bersedia tapi itu tidak cukup untuk membantu dalam situasi kecemasan.
Selain itu, tiada koordinasi yang baik antara agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan semalam perlu dilihat semula.
Malaysia Gazette berkongsi rasa sedih dan kecewa mangsa-mangsa banjir dan berharap mereka bersabar menghadapi dugaan.
Marilah ambil iktibar dari kejadian luar jangka dan dijadikan teladan pada masa depan.- MalaysiaGazette