Lokasi penemuan mayat Mohd Halimi Nazlan.

KUANTAN – Mayat seorang pemuda yang dikhuatiri dihanyutkan Ahad lalu di Sungai Chempaka, di sini, ditemui pasukan penyelamat pada jam 6.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Mohd Halimi Nazlan, 34 tahun, ditemui lebih kurang tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mayat mangsa terdampar di persisiran Pantai Chempaka pada pukul 6.50 pagi dan membawa mangsa ke darat,” katanya.

Pengecaman mayat mangsa telah dilakukan oleh keluarganya.

Mayat Mohd Halimi telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat.

Dalam kejadian 19 Disember lalu, sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki Melayu telah dihayutkan oleh arus deras ketika melalui Jalan pintasan Kampung Cempaka- Sungai Soi.

Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa yang bekerja di DRB Hicom dalam perjalanan dari Kuantan ke Pekan.

“Seorang mangsa berjaya menyelamat diri manakala seorang lagi gagal dikesan dipercayai telah dihayutkan oleh arus deras.

Kereta yang dinaiki mangsa telah ditemui pada hari yang sama. – MalaysiaGazette