SHAH ALAM –  Keadaan banjir di Sri Muda, Shah Alam semakin surut berbanding semalam, namun masih ramai yang masih belum keluar daripada kediaman.

Dalam misi menyelamat mengeluarkan mangsa, timbul desakan agar tol Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) Sri Muda yang menjadi satu-satunya laluan untuk misi menyelamat ditutup buat sementara waktu.

Penduduk Seksyen 25 Sri Muda Shah Alam, S Segai Thavaasi, 52. mendesak untuk tol LKSA dihentikan operasi sementara.

Menurut penduduk, S Segai Thavaasi, 52, beliau memohon agar tol berkenaan dihentikan operasi sementara waktu kerana ia merupakan laluan untuk saudara mara mereka yang terjejas untuk mengakses kawasan tersebut.

“Selain itu, ia adalah laluan untuk orang hantar makanan dan minuman,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Katanya, kerajaan patut prihatin nasib rakyat yang masih belum menerima bantuan yang sewajarnya.

“Selepas air naik paras dada, kami masih tak dapat bantuan, tapi bantuan kerajaan pun tiada buat kami.

“Kami kongsi duit, cari bot untuk datang selamatkan penduduk untuk dibawa keluar, selepas lebih 24 jam baru bantuan sampai,” katanya.

Menceritakan kembali detik air naik, Segai berkata, Seksyen 25 yang diketahui paling terkesan merupakan kawasan paling lambat dapat bantuan.

“Itulah yang berlaku, jadi bila kami ambil inisiatif sendiri bantu penduduk sini, harap kerajaan pun prihatin dengan tutup sementara tol ini.

“Bukan lama, sehingga selesai operasi ini, nak buka, bukalah… tapi sekarang ini saja jalan yang ada,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali melahirkan kekecewaan dengan cara kerajaan mengendalikan kes banjir di Selangor.

“Air naik cepat, bekalan elektrik putus, tapi bantuan lambat sampai. Saya tengok dah tular di media sosial. Media pun buat live, tapi itu pun bantuan sampai tapi sedikit.

“Siapa yang bagi duit sewa bot tu bolehlah nak minta cepat keluarkan keluarga, yang tak ada duit, tunggu tepi ni sampai malam,” katanya.

Untuk rekod, tol LKSA menghubungkan Shah Alam dengan Kota Kemuning.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari memberitahu, antara lokasi sasaran keadaan kritikal termasuk Seksyen 23, 24 dan 25 Taman Seri Muda selain Nanding di Hulu Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast