Penebar roti canai warga Indonesia ditikam parah oleh rakan senegaranya sebelum berjaya dicekup polis dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang penebar roti canai warga Indonesia cedera parah selepas disyaki ditikam rakan senegaranya selepas mereka terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Sungai Buloh semalam.

Insiden itu berlaku di Medan Selera Kedai Roti Canai Restoren ZN Catering di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 malam.

“Semasa kejadian, polis menerima aduan awam yang memaklumkan ada kejadian pergaduhan dan mangsa ditikam oleh suspek di kedai makan.

“Bertindak atas maklumat itu, anggota polis sampai di lokasi dan dimaklumkan seorang warga Indonesia ketika menabur roti canai di restoran telah ditikam dengan pisau oleh suspek Indonesia yang juga pekerja kedai nasi lemak yang sama.

“Mangsa yang dikenali sebagai Zakaria ditikam dengan pisau oleh suspek lelaki berusia 27 tahun bernama Udai.

“Suspek yang juga pekerja kedai nasi lemak di restoran sama sudah ditahan oleh orang awam dan tangkapan semula dibuat oleh anggota polis rondaan dan pemeriksaan lanjut suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Motif kejadian mangsa ditikam masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shafa’aton, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

“Mangsa masih dirawat dan diletakkan dalam pemerhatian rapi di bawah Unit Penjagaan Koronari. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan motif kejadian masih dalam siasatan polis,” tegasnya.-MalaysiaGazette