KUALA LUMPUR – Sebanyak 50,000 para pelanggan unifi, streamyx dan unifi mobile yang terkesan akibat kerosakan beberapa peralatan telekomunikasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang mengakibatkan gangguan perkhidmatan di beberapa kawasan.

Banjir kilat dan tanah runtuh telah mengakibatkan beberapa nod TM di tiga negeri tidak dapat diakses berikutan paras air yang tinggi dan keadaan yang tidak selamat.

Telekom Malaysia (TM) berkata, syarikat itu sedang berusaha keras untuk memastikan perkhidmatan komunikasi dapat diberikan semula dengan selamat.

Pusat Tindakan Krisis Nasional Telekom Malaysia (TM) telah diaktifkan dan pemantauan sedang dilakukan di lokasi-lokasi rangkaian dengan teliti.

Dalam kenyataannya berkata, syarikat itu berkata, TM terpaksa mematikan bekalan elektrik dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk di situ serta mengurangkan sebarang potensi risiko.

”TM akan segera melaksanakan kerja-kerja baik pulih rangkaian di kawasan-kawasan yang terjejas banjir bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan dan memastikan para pelanggan dapat terus berhubung,” katanya.

Pada masa yang sama, Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) telah diaktifkan untuk memberi bantuan dan sokongan kepada mereka yang terjejas dengan bencana ini.

Sebagai permulaan, sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan kepada inisiatif-inisiatif bantuan yang terdiri daripada geran padanan bernilai RM25 juta oleh Kerajaan, sementara GLC/GLIC akan bersama-sama menyumbangkan RM25 juta lagi.

Sebagai ahli GDRN, yang diterajui bersama oleh TM sebagai Sekretariat dan Yayasan Hasanah daripada Khazanah Nasional Berhad, kami berkolaborasi dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi lain untuk menghulurkan bantuan-bantuan pemulihan bencana yang lain. – MalaysiaGazette