Rumah banjir
Ruhana Mahfuz duduk di tangga batu sambil merenung kesan rumah warisan yang lenyap dihanyutkan arus deras di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Hati mana yang tidak meruntun sebaik sahaja melihat rumah warisan peninggalan kedua orang tuanya lenyap begitu sahaja. Yang tinggal kini hanyalah sebuah tangga batu manakala segala barangan dan dokumen penting hanyut bersama arus deras.

Bagi Ruhana Mahfuz, 76, tragedi yang bermula malam Jumaat lalu umpama mimpi dan masih sukar untuk beliau menerima hakikat tersebut.

Hatinya masih hiba. Rumah yang terletak di Batu 18, Kampung Jawa di sini menjadi tempat baginya dan 10 adik beradiknya yang lain berkumpul serta saling bertukar cerita, namun kini segala-galanya telah berakhir.

Ketika ditemui MalaysiaGazette petang tadi, bekas pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu meluahkan rasa.

Rumah warisan banjir
Beginilah keadaan rumah asal Ruhana yang kini lenyap dibawa arus deras.

Beliau tidak menyangka hujan lebat berterusan pada Jumaat lalu menjadi detik permulaan yang meranapkan tempat tinggalnya dan membawa pergi segala kenangan yang terukir di situ.

Menceritakan detik cemas yang dilalui, Ruhana berkata, kejadian tidak diduga itu berlaku sangat pantas dan tidak memberi ruang sedikit pun kepadanya untuk menyelamatkan barangan serta dokumen penting.

Beliau hanya sedar akan bahaya yang menanti selepas dimaklumkan oleh sepupunya yang tinggal di kawasan agak tinggi berhadapan kediamannya.

“Ketika itu waktu Isyak, sepupu bagi tahu naikkan kereta, saya pun bergegaslah alihkan kereta sampai ke tepi rumah, kemudian saya masuk balik apa yang saya dapat selamatkan mesin rumput, lepas itu saya dengar pokok-pokok tumbang.

“Kemudian saya terus naik ke tebing (rumah sepupu) untuk selamatkan diri. Ketika itu saya rasa nak pulang ke rumah nak ambil apa-apa dokumen tapi sepupu saya peluk cakap jangan, takut ada apa-apa hal,” katanya yang masih kelihatan sugul.

Menyambung cerita, Ruhana berkata, keesokan harinya iaitu selepas menunaikan solat Subuh pada Sabtu beliau terus menjenguk ke kediamannya.

Ruhana Mahfuz
Ruhana Mahfuz

Tubuhnya longlai apabila mendapati rumah yang menjadi tempatnya berteduh sejak kecil hilang dari pandangan mata dan yang tinggal hanyalah tangga batu.

Tiada sebarang ungkapan yang dapat dilafazkan. Hatinya merintih menyebut nama Allah Tuhan Yang Maha Esa sambil bersyukur kerana nyawanya terselamat.

Jauh di sudut hatinya turut tertanya-tanya apabila melihat tangga utama rumah itu tidak hanyut dibawa arus deras sebaliknya kekal bersama sebatang tiang yang diperbuat daripada batu bata.

Ruhana berkata, rumah pusaka itu mempunyai sejarahnya tersendiri kerana ia dibina pada 13 Mei 1969 ketika negara melalui peristiwa berdarah yang masih dikenang sehingga kini.

Katanya, pelbagai peristiwa dirakam di tangga batu itu.

“Di tangga inilah arwah ayah ucap selamat jalan kepada arwah mak ketika jenazahnya dibawa turun. Di sini saya rasa betapa utuhnya kasih sayang dia dengan mak. Sepuluh tahun selepas itu dia pun menyusul (meninggal dunia).

“Jadi dengan peristiwa itu kenapa Allah tinggalkan tangga ini. Kat situlah kaitannya, rasa sayalah. Dia suruh anak cucu tengok betapa sayangnya datuk pada nenek. Di tangga inilah pengakhiran dia bersama nenek,” katanya dalam nada hiba.

Enggan hanyut dibawa perasaan Ruhana nekad mengumpul kekuatan dan membina semula rumah yang musnah itu biar pun mungkin ia tidak akan pernah sama kediamannya yang diwariskan orang tuanya itu.

Hasrat hanya satu, rumah baharu di tapak asal terus menjadi tempat untuk dia, adik beradik dan saudara mara berkumpul setiap kali tiba musim perayaan.

Semoga hasrat Ruhana menjadi kenyataan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bertabahlah yang hadapi ujian ALLAH ini SERTA kita terus muhasabah diri,,,,Berat mata memandang berat BAHU yang memikul…..teringat BANJIR BESAR JOHOR 2014

Comments are closed.