Anggota Polis mengawal ketat sekitar kawasan Taman Sri Muda yang telah terlibat banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Polis berjaya menahan 31 warga asing berhubung kes insiden menceroboh kedai serbaneka Mydin di Taman Sri Muda petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan tangkapan itu berkata, daripada 31 orang yang ditahan, seramai 10 adalah warga Indonesia, tujuh warga Bangladesh, sembilan warga Nepal dan lima warga Myanmar.

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, ” katanya lagi dalam kenyataan hari ini.

Justeru Baharudin berkata, pihaknya telah meningkatkan elemen pencegahan jenayah di semua kawasan yang terjejas dengan banjir dengan pasukan yang diketuai oleh seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Superintendan.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai di kawasan-kawasan yang terjejas banjir agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang di mana pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas atas kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan,” tegasnya.

Dalam kejadian sekitar tengahari semalam video  tular dalam media sosial memaparkan sekumpulan orang memecah masuk sebuah kedai serbaneka yang ditutup akibat banjir.

Mereka dilihat telah mengeluarkan parang dan beberapa senjata tajam memasuki premis berkenaan sebelum membawa keluar barang-barang keperluan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Mydin yang bertanggungjawab terjejas dalam insiden itu telah memaafkan dan menghalalkan perbuatan pencerobohan itu kerana menyedari mereka terdesak.

Rata-rata mereka melakukan perkara itu demi kelangsungan hidup selepas terputus akses bantuan makanan dan keperluan asas dari pihak kerajaan sejak 18 Disember lalu.- MalaysiaGazette