Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (tengah) mendengar keluhan sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan ke PPS SRA Bukit Changgang di Banting, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2021.

BANTING – Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menggerakkan lebih 7,000 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ekoran banjir yang berlaku di beberapa buah negeri.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pegawai-pegawai itu akan bertanggungjawab untuk membantu mangsa-mangsa yang menerima musibah itu sejak Sabtu lalu.

“Kita juga telah gerakkan pegawai yang tidak terlibat banjir, kita gerakkan mereka ke kawasan banjir supaya sama-sama membantu di kawasan banjir.

“Bukan sahaja warga JKM, di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat juga digerakan di mana tujuh agensi itu telah bersama sebagai satu keluarga,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Changgang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad yang meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk bertemu mangsa-mangsa banjir di sekitar Banting.

Rina berkata, beliau sangat berpuas hati dengan fasiliti yang telah diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di SRA Bukit Changgang.

“Saya lihat dari segi kelengkapan bantuan dan makanan serta keperluan peribadi macam lampin bayi dan warga emas mencukupi.

“Saya nampak di sini sudah ada keperluan makanan sudah mencukupi cuma kita kena bantu dari segi nak bersihkan rumah masing-masing dan kita ada 313 keluarga yang menempatkan lebih 500 keluarga yang terdiri daripada golongan warga emas, kanak-kanak,” kata Rina.

Selain itu, Rina berkata. KPWKM menempatkan pegawainya untuk memberikan khidmat kaunseling kepada mereka yang memerlukannya.

“Selain daripada itu, KKM (Kementerian Kesihatan) juga telah menyediakan doktor dan petugas yang bersama untuk melihat dari segi kesihatan mereka kerana ada yang demam dan mula sakit,” jelasnya.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di laman Facebooknya berkata, lebih 500 mangsa di Bukit Changgang diselamatkan dari kawasan terjejas banjir dan dipindahkan ke tempat selamat. – MalaysiaGazette