Penaung Cheras Road FC, Khairul Izani Omar membawa barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa kebakaran Flat Sri Johor.

KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak amatur, Cheras Road FC  tampil menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Blok 31, Flat Sri Johor di sini hari ini.

Menurut penaungnya, Khairul Izani Omar, rata-rata pemain di dalam kelab tersebut merupakan anak muda dari Flat Sri Pulau Pinang yang lokasinya terletak kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.

Justeru katanya, mereka merasa terpanggil untuk membantu mangsa yang terlibat dalam kebakaran selain melaksanakan tangungjawab sosial korporat (CSR).

Antara barangan keperluan yang disumbangkan termasuk lah beras, gula serta makanan kering.

“Hari ini kita agihkan bantuan kepada lapan keluarga yang terlibat dalam kebakaran tersebut ini selain menjalankan CSR dalam membantu masyarakat.

“Lebih-lebih lagi Flat Sri Johor ini merupakan kawasan komuniti kami sendiri, jadi ia bersesuaian dengan slogan kami iaitu Football For Community,” katanya.

Terdahulu, Khairul Izani bersama para pemain Cheras Road FC mengagihkan bantuan berkenaan kepada penerima di Dewan Serbaguna Sri Johor yang dijadikan penempatan sementara.

Dalam kejadian pada lewat malam Ahad, lapan buah rumah di Flat Sri Johor hangus terbakar dipercayai berpunca daripada tong gas yang meletup di salah sebuah unit.

Untuk rekod, Cheras Road FC merupakan sebuah kelab bola sepak yang berpengkalan di Cheras dan ketika ini pasukan berkenaan sedang bersaing dalam Liga Kuala Lumpur dan juga M5. – MalaysiaGazette