KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera menyalurkan bantuan khususnya kepada pemilik perniagaan yang terjejas dengan bencana banjir dengan mengenepikan sebarang kerenah birokrasi.
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, para peniaga sudah bedepan dengan pelbagai cabaran sejak ada Covid19 dan kini musibah banjir pula.
“Bantulah mangsa banjir ini tanpa birokrasi dan permudahkan urusan kumpulan ini, sebab mereka sudah terbeban sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama lagi.
“Di dalam berita televisyen bunyi macam mudah untuk memohon bantuan, realitinya leceh kerana perlu kemukakan pelbagai dokumen.
“Jadi, ketepikanlah kerenah birokrasi yang remeh dan buang masa,” kata Sohaimi dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, agensi-agensi kerajaan yang berkait dengan perniagaan dan bank-bank perlu segera membuat kaunter khas bukan menunggu mangsa datang meminta bantuan.
Tegasnya, peniaga sudah alami kerugian teruk tidak perlu dibeban dengan hal yang remeh-temeh.
“Nak bantu modal kewangan tidak terlalu bergantung kepada rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dalam menentukan kelayakan usahawan yang memohon pinjaman,” jelasnya
Katanya, inisiatif berkenaan bagi meringankan beban usahawan yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan serta kediaman mereka.
Katanya, para usahawan ini harus diberi ruang untuk pulihkan perniagaan bagi menyokong kelestarian perniagaan mereka terutamanya dalam waktu yang mencabar ini.
Selain itu Sohaimi menggesa pihak pemberi pinjaman seperti bank dan agensi kerajaan seperti TEKUN supaya memberi moratorium pinjaman ataupun sewaan terhadap peniaga yang terkesan akibat bencana alam.- MalaysiaGazette