Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib

SHAH ALAM – Sebanyak empat kes lagi kematian membabitkan mangsa banjir dilaporkan hari ini di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, keempat-empat kematian terbaharu itu masing-masing dua lelaki dan dua wanita.

“Bagaimanapun bangsa atau kewarganegaraan kesemua mangsa itu masih belum dikenal pasti dan telah direkodkan hari ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terkorban dalam banjir setakat ini adalah sebanyak 12 kes.

“Daripada 12 mangsa lemas itu tujuh merupakan lelaki manakala lima lagi mangsa wanita. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Besar Shah Alam untuk menjalankan prosesibedah siasat dan kes diklasifikasikan dan disiasat di bawah Mati Secara Mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Baharudin, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah membuka dua buah Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) iaitu di PKTK 1, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam dan PKTK 2, Taman Kemuning Utama, Seksyen 33, Shah Alam.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 583 orang mangsa telah dipindahkan pada hari ini dan telah dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah terkini penempatan mangsa banjir di daerah berkenaan membabitkan sebanyak 18 PPS adalah berjumlah 3,982 orang.

Selain itu,katanya pihaknya juga  membuka dua buah khemah sebagai tempat penyaluran bantuan makanan, pakaian terpakai dan barang-barang keperluan harian kepada mangsa-mangsa yang terjejas dengan banjir. -MalaysiaGazette