Wardatul Hidayu (berbaju kuning) bersama seorang rakannya meredah banjir untuk membawa keluar kucing peliharaan yang ditinggalkan sejak Sabtu lalu di Taman Sri Muda.

SHAH ALAM – Seorang gadis nekad meredah banjir sehingga paras pinggang semata-mata mahu menyelamatkan dua ekor kucing kesayangan yang berada di tingkat dua kediamannya di Lorong 25/72 Jalan Ehsan, Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Wardatul Hidayu Wahab, 25, berkata, kedua-dua kucing betina peliharaannya itu sudah ditinggalkan sejak Sabtu lalu ketika banjir melanda keseluruhan taman perumahan tersebut.

Jelas Wardatul yang bekerja sebagai tukang masak, hatinya berasa tidak tenang memikirkan nasib Audrey dan Sasha yang mungkin sudah kehabisan makanan serta minuman sehingga dia nekad untuk meredah banjir.

Tambah Wardatul, dia sudah menganggap kucingnya itu seperti anak sendiri kerana sudah memeliharanya sejak berada di bangku sekolah menengah.

Wardatul Hidayu Wahab. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

“Saya keluar dari rumah pada lewat petang Sabtu dengan menaiki bot dibawa oleh sukarelawan serta dibantu oleh jiran.

“Ketika itu saya tidak sempat untuk bawa sangkar kucing dan terpaksa meninggalkan kedua-duanya di dalam bilik di tingkat atas beserta makanan.

“Selepas berjaya keluar, terus saya pergi ke rumah kakak di Setia Alam sebelum nekad untuk meredah banjir hari ini kerana terlalu risaukan Audrey dan Sasha, memang betul ketika saya sampai di rumah tadi kesemua makanannya sudah habis,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.

Menurut Wardatul, dia tinggal berseorangan sejak Ogos lalu selepas ibunya meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Tambahnya lagi, selain mempunyai kucing peliharaan, dia juga sering memberi makanan kepada kucing liar yang berada di kawasan perumahannya itu.

“Kasihan kucing liar yang lain mungkin tidak sempat diselamatkan,” katanya dalam nada khuatir. – MalaysiaGazette