Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Terdapat penambahan sebanyak 86 kes positif Covid-19 telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 267 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 86 kes  positif hari ini, sebanyak 75 telah dikesan melalui saringan kemasukan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Manakala sebanyak 11 kes lagi adalah kes Covid-19 yang sedia ada dan sedang menjalani kuarantin sebelum kejadian banjir.

“Setakat ini tiada kejadian kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS.

“Kesemua 86 kes telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain iaitu sembilan kes di tempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), 12 kes di hospital, 62 kes di PPS kuarantin, dan tiga (3) kes menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah PPS yang masih beroperasi di seluruh negara adalah sebanyak 456 iaitu 280 di Pahang, 128 di Selangor, 28 di Kelantan, sembilan di Melaka, enam di Negeri Sembilan, tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan dua di Perak.

Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir pula seramai 71,320 orang.

Sementara itu, kes sembuh  hari ini sebanyak 4,278 kes dan baharu telah mencatat kenaikan kepada 3,140 menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 2,724,684.

Daripada dapatan kes harian ini, 64 kes adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,076 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Berdasarkan kes import, terdapat 58 kes  di mana 51 adalah warganegara dan tujuh bukan warganegara.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi adalah 353 kes yang mana 275 kes disahkan Covid-19; 78 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula adalah sebanyak 189 kes (125 kes disahkan Covid-19; 64 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Jumlah kluster hari ini  mencatat 6,086 kluster, jumlah kluster baharu adalah 4 kluster, jumlah kluster yang telah tamat adalah 5,839 kluster dan jumlah kluster aktif adalah 247 kluster.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari. -MalaysiaGazette