Allahyarham Muhamad Faisol Abd Majid.

SEBERANG PERAI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan milik pegawai kanan polis di Kilometer 126.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur Sungai Dua di sini hari ini.

Kejadian pukul 8.20 pagi itu menyebabkan mangsa, Muhamad Faisol Abd Majid, 36, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 itu dari rumahnya di Tikam Batu, Kedah dalam perjalanan pergi ke tempat kerjanya di Pulau Pinang.

Difahamkan, ketika kejadian kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang dipandu pegawai kanan polis itu turut berada di laluan sama mangsa.

Akibat kemalangan itu, motosikal mangsa mengalami kerosakan pada bahagian belakang dan hadapan manakala pacuan empat roda itu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan kiri.

Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya menggunakan ambulans untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – MalaysiaGazette